Sunday 31 July 2011

Peluang kedua G Palanivel selepas 2 kali ditolak

Salam semua. Presiden MIC G Palanivel mendapat sokongan kuat dari PM DS Najib Razak. Bekas wartawan yang kini orang nombor satu MIC dilantik menjadi menteri penuh oleh DS Najib. PM membuat pengumuman itu ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan MIC di Putrajaya semalam, Sabtu 30 Julai. DS Najib mahu MIC memastikan sebahagian besar undi masyarakat India pergi ke Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang. Spekulasi terhadap tarikh PRU 13 semakin menjadi-jadi sehingga ada yang meramalkan pilihanraya akan diadakan hujung tahun ini. Ada juga yang meramalkan ia akan diadakan awal tahun depan. Apapun, Palanivel mendapat "big boost" dengan pengumuman terbaru ini. Sebagai MP yang kalah di Hulu Selangor dalam pilihanraya 2008, dan pencalonannya tidak disetujui oleh kepimpinan BN dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor kira-kira dua tahun lalu, Palanivel wajib berterima kasih kepada DS Najib. Bagi seorang yang ditolak oleh pengundi pada tahun 2008, dan kemudian ditolak pula pucuk pimpinan BN dalam pilihanraya kecil, perlantikannya ke jemaah menteri dilihat sebagai usaha PM untuk membantu Palanivel dan MIC kembali disenangi pengundi masyarakat India.

Palanivel bukanlah pemimpin yang disenangi semua ahli MIC. Beberapa pemimpin MIC menyifatkan Palanivel sebagai "a man full of himself," iaitu seorang individu yang melihat dirinya sebagai orang terpenting di mana saja. Moga-moga perlantikan ini akan menyedarkan Palanivel bahawa ada orang lebih penting dari dia. Palanivel perlu tahu bahawa kedudukannya dalam MIC dan kerajaan boleh berubah jika dia gagal menunaikan janji kepada DS Najib dan BN.

1 comment:

  1. Boleh caya kah dia nih? Palanivel jadi presiden MIC atas ehsan boss lama dia, Samy Vellu. Kalau dia bertanding, belum tentu dia dapat duduk kerusi nombor satu tu.

    mic watch

    ReplyDelete